Isu pemberian tiket melalui saluran politik mula menjadi tajuk perbualan di media sosial dan ‘WhatsApp Group’ menjelang perlawanan Separuh Akhir Piala FA antara Terengganu FC menentang Selangor FC di Stadium Sultan Mizan, Sabtu ini.
Kumpulan penyokong Ultras Tranung mendakwa, “Kita ada bukti 1 DUN ni dapat 300 keping (tiket). Siap kena isi e-borang lagi.
“Cuma diharapkan jangan aniaya penyokong yang akan beratur mengharapkan baki 12 ribu tiket nanti, pulang hampa selepas setengah jam kaunter dibuka,” katanya melalui facebook Ultras Tranung, semalam.
Sementara itu, Terengganu FC akan menjual 12,000 lagi tiket secara fizikal di kaunter stadium pada hari perlawanan.
Menurut kenyataan rasmi, penjualan tiket itu adalah merangkumi 10,000 tiket dewasa dan 2,000 tiket kanak-kanak.
“Bagi memastikan kapasiti tempat duduk stadium dapat memuatkan kesemua penyokong yang membeli tiket, kanak-kanak berusia atas dari 2 tahun diwajibkan masuk bertiket,” katanya melalui facebook Terengganu FC, Selasa lalu.
Sementara itu, tular di ‘WhatsApp Group’ mengenai agihan tiket melalui e-borang, ‘Google Forms’ oleh Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Paka, YB Satiful Bahri Mamat kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Dalam kenyataan memo tersebut, setiap JPKK diberikan 10 keping tiket dan agihan itu diuruskan oleh wakil Pemuda PAS DUN Paka, Hafizuddin.
DUN Paka mempunyai 27 JPKK.
Tags
NEGERI