Terengganu Coverage

Perluasan Kawasan Pentadbiran Ketengah Perlu Persetujuan Kerajaan Terengganu

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan memperluaskan kawasan pentadbiran agensi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) melibatkan daerah Hulu Terengganu. 

Timbalan Menterinya, YB Datuk Rubiah Wang dalam laporan Utusan Malaysia berkata, kawasan pentadbiran baharu Ketengah di daerah itu melibatkan lapan mukim iaitu mukim Tanggul, Hulu Berang, Hulu Telemong, Jenagor, Kuala Berang, Kuala Telemong, Penghulu Diman dan Tersat. 

Menurutnya, pihaknya akan mengadakan perbincangan dan mendapat persetujuan kerajaan negeri untuk meluaskan kawasan pentadbiran agensi tersebut.  

“Kita merancang untuk memperluaskan lagi kawasan Ketengah yang mana kita lihat kawasan terlibat perlu dibangunkan sosio ekonominya untuk memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Doa Selamat dan Santuni Asnaf Wilayah Ketengah sempena 50 tahun penubuhan Ketengah, di Bandar Al Muktafi Billah Shah, petang semalam. 

Turut hadir, Pengerusi Ketengah, YB Dato’ Seri Ahmad Said, ADUN Bukit Besi, YB Roslee Daud dan Pengurus Besar Ketengah, Dato’ Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa. 

Rubiah berkata, sekiranya kerajaan negeri bersetuju, rancangan itu akan dilaksanakan secepat mungkin pada tahun ini.  

Menurutnya, setakat ini, Ketengah meliputi kawasan seluas 1.3 juta hektar di Pengkalan Gawi, Hulu Terengganu, Bandar Bukit Besi, Bandar Al-Muktafi Billah Shah dan Bandar ketengah Jaya di Dungun serta Bandar Seri Bandi dan Bandar Cheneh Baru di Kemaman.  

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Tabung Amanah Masyarakat Ketengah menyediakan sumbangan sebanyak RM205,600 untuk diagihkan kepada 1,028 buah keluarga asnaf di kawasan Ketengah sebagai persediaan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.  

“Setiap keluarga tersebut akan menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM200 yang mula diagihkan pada 5 April lalu sehingga 19 April ini,” ujarnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post