Proses pengagihan kerusi antara parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka selesai Ahad ini.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam laporan Berita Harian hari ini berkata, setakat ini pembahagian kerusi di semua enam negeri terbabit sudah dimuktamadkan kecuali di dua negeri iaitu Selangor dan Negeri Sembilan yang memerlukan rundingan lagi di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Di Negeri Sembilan dan Selangor ada dua (atau) tiga kerusi DUN tetapi di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu, semuanya sudah selesai.
"Bagi Selangor dengan Negeri Sembilan, kita akan beri masa kepada mereka (pimpinan PN negeri), hari Ahad mereka akan berjumpa balik (selesaikan), bukan pasal apa, ini kerana (kerusi itu) 'hang nak, aku pun nak, jadi kita (adakan) rundingan.
"Sebenarnya kerusi DUN terbabit tidak panas sangat, biasa sahaja. Insya-Allah selesai," katanya.