Kerajaan Terengganu telah memungkiri janji untuk menaikkan elaun lebih 900 guru kelas Al-Quran pra sekolah di seluruh negeri sebanyak RM50 sebulan.
Kenaikkan yang sepatutnya berkuatkuasa Januari 2023 itu dijanjikan Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan pada November tahun lalu.
Elaun di bawah Skim Mus’ab Bin Umair itu dibayar kepada guru-guru kelas Al-Quran pra sekolah di seluruh negeri melibatkan Tadika Kemas sebanyak lebih 700 buah, Tadikan Yayasan Islam Terengganu (140) dan Tadikan Perpaduan (70).
Skim Mus’ab Bin Umair ialah program yang ditukar nama daripada Program Pintar Al-Quran yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri sejak 2005 ketika di bawah pemerintahan Barisan Nasional.
Program Pintar Al-Quran menekankan aspek bacaan dan hafalan al-Quran, sehingga berjaya melahirkan lebih 25,000 kanak-kanak berusia 5 hingga 6 tahun yang mempunyai asas penguasaan al-Quran.
Kerajaan negeri ketika itu mewujudkan jawatan Guru Pintar Al-Quran dan dibayar elaun sebanyak RM500 sebulan untuk bertugas selama dua jam sehari untuk dua atau tiga sesi pembelajaran seminggu.
Selepas PAS mengambil alih pentadbiran negeri, program itu ditukar nama kepada Skim Mus’ab Bin Umair pada tahun 2019 hingga kini.
Pada September tahun yang sama, kerajaan negeri telah bertindak zalim memotong elaun guru-guru kelas Al-Quran sebanyak RM100 menjadi RM400 sebulan.
Perkara itu diakui Exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, YB Dato’ Satiful Bahri Mamat.
Pada tahun lalu, kerajaan negeri berjanji untuk menaikkan semula elaun berkenaan sebanyak RM50 sebulan sebagai ‘persiapan’ untuk menghadapi pilihan raya negeri tahun ini.Namun, janji itu masih belum ditunaikan sehingga hari ini.