Sebanyak 156 buah Tabika Kemas di Terengganu tidak dapat melaksanakan kelas Al-Quran kerana tiada peruntukkan daripada kerajaan negeri.
Menurut sumber, Tabika Kemas di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat itu telah bertambah daripada 700 kelas pada 2018 kepada 856 ketika ini.
Program itu dilaksanakan di bawah Skim Mus’ab Bin Umair.
Skim Mus’ab Bin Umair ialah program yang ditukar nama daripada Program Pintar Al-Quran yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri di Tabika Kemas sejak tahun 2007.
Program itu menekankan aspek bacaan dan hafalan al-Quran, sehingga berjaya melahirkan lebih 25,000 kanak-kanak berusia 5 hingga 6 tahun yang mempunyai asas penguasaan Al-Quran.
Kerajaan negeri ketika itu mewujudkan jawatan Guru Pintar Al-Quran dan dibayar elaun sebanyak RM500 sebulan untuk bertugas selama dua jam sehari untuk dua atau tiga sesi pembelajaran seminggu.
Selepas PAS mengambil alih pentadbiran negeri, program itu ditukar nama kepada Skim Mus’ab Bin Umair pada tahun 2019 hingga kini.
Pada September tahun yang sama, kerajaan negeri telah memotong elaun guru-guru kelas Al-Quran sebanyak RM100 menjadi RM400 sebulan sehingga kini.
Kata sumber itu, pihak jabatan telah membuat permohonan untuk menambah peruntukkan bagi perlaksanaan skim berkenaan, namun masih tidak mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri.