Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 jelas menyatakan Pulau Pinang menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaya sebagai sebuah negeri yang berasingan daripada Kedah.
Ahli Majlis Profesor Negara (Kluster Politik, Governan dan Undang-Undang), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, menerusi perjanjian yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan itu, Pulau Pinang diiktiraf sebagai negeri di Semenanjung.
“Perlu difahami bahawa dalam konteks ini tidak timbul Pulau Pinang adalah sebahagian daripada Kedah kerana Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 telah menetapkan ada 11 negeri di Semenanjung,” katanya dalam laporan Sinar Harian, hari ini.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Noor pada Isnin lalu menegaskan, Kedah tidak mempunyai sempadan dengan Pulau Pinang berikutan ia milik Kedah.
Katanya, Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.
"Saya tunggu Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), kalau ada asas ditentu sahkan sempadan Kedah dengan negeri jiran lain... yang saya tau Pulau Pinang itu Kedah punya.
"Jadi tak dak (tiada) la sempadan Kedah Pulau Pinang tu, sempadan negeri kita dok (di) sebelah Balik Pulau, dengan Perak mungkin ada, nak ukur kat mana habaq (beritahu), nak pakai warta nombor berapa?" katanya.