Tasik Kenyir yang terletak di daerah Hulu Terengganu diisytihar sebagai Geopark Kebangsaan dan bakal dikenali sebagai 'Kenyir Geopark'.
Bernama melaporkan, pengiktirafan tersebut diumumkan oleh Jawatankuasa Geopark Kebangsaan dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Abdul Wahid Abu Salim di Putrajaya, baru-baru ini.
Pengiktirafan itu akan membuka dimensi baharu kepada sektor pelancongan Tasik Kenyir yang sememangnya sudah mendapat tarikan utama dalam kalangan pelancong.
Selain itu ia juga akan mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan dan penjanaan ekonomi yang akan membangunkan lagi sosioekonomi komuniti setempat, kata laporan itu.
Kenyir Geopark yang berkeluasan 244,900 hektar merangkumi kawasan Tasik Kenyir, 340 pulau dan 15 geotapak termasuk penemuan fosil kesan tapak kaki dinasour, Batu Kapur Gua Bewah, Penara Gunung Gagau, Tapak Warisan Batu Bersurat dan Gua Taat.