Satu akuan bersumpah telah dibuat oleh seorang wanita berusia 38 tahun pada 27 Julai lalu yang mendakwa wujudnya perlakuan rasuah, penyelewengan dana kerajaan dan skandal seks yang melibatkan bekas ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili.
Dalam akuan dua muka surat
itu, wanita berkenaan mendakwa Saiful Azmi gagal memberikan kerjasama bagi
menyelesaikan isu perceraian mereka.
Saiful Azmi yang pernah menjadi wakil rakyat di DUN Kemasik antara 2018 hingga 2023 sekali lagi dicalonkan oleh parti PAS untuk ‘teguh pertahan’ DUN berkenaan pada pilihan raya negeri 12 Ogos ini.
Saiful Azmi ialah Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Kemaman.
Antara isi kandungan akuan itu, wanita yang beralamat di Kampung Tengah, Kertih itu mendakwa;
1. Saiful Azmi didakwa menerima duit 'komisyen' atau rasuah dari wanita berkenaan bagi projek pembinaan dan naik taraf jalan-jalan di DUN Kemasik secara tunai.
2. Dakwa wanita itu, Saiful Azmi telah membuat tuntutan palsu bagi menyeleweng dana kerajaan persekutuan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau Penjana untuk membina bangunan PAS di Kertih. Kosmo pada 8 Februari 2023 melaporkan, SPRM telah menahan 133 individu yang terdiri daripada pemilik dan pengarah syarikat berhubung penyelewengan dana Penjana yang dianggarkan berjumlah RM194 juta.
3. Pejabat ADUN Kemasik telah diserbu pihak SPRM bagi menyiasat kes tuntutan palsu dan penyelewengan dana Penjana oleh pihak Saiful Azmi yang turut melibatkan syarikat adik Saiful Azmi.
4. Pada tahun 2021, Saiful Azmi telah meminta wanita itu memfailkan perceraian dengan suaminya di mahkamah. Wanita itu mendakwa, Saiful Azmi berjanji untuk berkahwin dengannya kerana mereka berdua telah beberapa kali ‘terlanjur’ semasa berada di Kuala Lumpur. Selepas selesai proses perceraian dan tempoh iddah wanita itu tamat, pada 18 Mac 2022 mereka berkahwin di Thailand. Perkahwinan itu telah diuruskan oleh beberapa individu termasuk Ustaz Hasan Harun.
5. Pada Oktober 2022, rahsia perkahwinan itu terbongkar dan diketahui oleh isteri Saiful Azmi iaitu Ustazah Husna Abdul Rahman. Dalam polemik itu, Ustaz Hasan Harun mendakwa perkahwinan antara wanita itu dan Saiful Azmi di Thailand tidak sah dan mereka tidak dibenarkan berjumpa.
6. Wanita itu turut membuat laporan Polis terhadap isteri Saiful Azmi, Ustazah Husna yang didakwa menyebarkan ‘video lucah’ wanita itu bersama bekas suaminya.
7.
Selepas
kejadian itu, wanita tersebut mendakwa dia gagal menghubungi atau berjumpa
dengan Saiful Azmi bagi menyelesaikan isu perceraian antara mereka berdua.