Terengganu Coverage

Tanah Bernilai RM11.84 Juta Mahu Dijual Kepada Koperasi PAS Hanya RM236 Ribu

Tanah milik kerajaan negeri Terengganu seluas 14,355 meter persegi atau kira-kira 3.5 ekar bernilai RM11,842,500 mahu dijual kepada sebuah koperasi milik pemimpin PAS dengan hanya RM236,850.

Tanah di Lot PT 2866 Penempatan Tok Adis Fasa II Mukim Kuala Ibai itu mahu dijual kepada Koperasi Khidmat Batu Burok Kuala Terengganu Berhad (Kokhidmat).

Merujuk Notis Bahawa Hasil Tanah Harus Dibayar (Borang 5A, Seksyen 81 dan 82) pada 18 Oktober 2021, jumlah premium harus dibayar oleh Kokhidmat kepada kerajaan negeri ialah RM2,368,500 iaitu 20% daripada nilaian semasa.

Kokhidmat membuat rayuan bagi mengurangkan kadar premium itu.

Mesyuarat Jawatankuasa Tanah Daerah Kuala Terengganu Kali Ke-8 pada 28 Oktober 2021 mengesyorkan bayaran premium hanya RM236,850 iaitu pengurangan sebanyak 90% daripada jumlah (RM2,368,500) yang sepatutnya dibayar.

Jawatankuasa Tanah Daerah Kuala Terengganu turut terdiri daripada semua wakil rakyat PAS dalam Daerah Kuala Terengganu ketika itu iaitu ADUN Batu Burok, YB Muhammad Khalil Abdul Hadi; ADUN Ladang, YB Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar; ADUN Bandar, YB Ahmad Shah Muhamed; ADUN Wakaf Mempelam, YB Wan Sukairi Wan Abdullah; ADUN Alor Limbat, YB Ariffin Deraman; ADUN Buluh Gading, YB Ridzuan Hashim dan ADUN Manir, YB Hilmi Harun.

Namun, Pentadbir Tanah Daerah menjelaskan syor Jawatankuasa Tanah Daerah Kuala Terengganu bercanggah dengan Keputusan Mesyuarat Exco pada 24 April 2019 bahawa kadar premium bagi semua permohonan tanah kerajaan negeri oleh entiti perniagaan hendaklah dikenakan pada kadar 50% daripada nilaian semasa.

Kokhidmat ditubuh ketika PAS memerintah Terengganu antara tahun 1999 hingga 2004 oleh Yang DiPertua PAS Kuala Terengganu ketika itu, Dato’ Wan Muttalib Wan Embong yang juga Exco Kerajaan Negeri.  

Kokhidmat kini dipengerusikan oleh bekas Ahli Jawatankuasa PAS Kuala Terengganu, Wan Musa Wan Embong yang juga abang kepada Wan Muttalib. Timbalan Pengarah PAS DUN Batu Burok, Ustaz Mohd Soud Said yang juga Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) turut menganggotai koperasi itu sebagai Ahli Lembaga Pengarah.

Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu, YB Wan Sukairi Wan Abdullah hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kokhidmat
Kali Ke-19 pada 26 November 2022

Tanah itu diluluskan oleh kerajaan negeri kepada koperasi pemimpin PAS melalui keputusan Mesyuarat Exco Kali Ke-6/2021 pada 17 Februari 2021.

Tanah itu dipohon untuk dijadikan tapak perumahan komersil.

Namun, sebelum keputusan itu dibuat oleh Menteri Besar dan Ahli-Ahli Exco, tiga pihak tidak bersetuju tanah itu diserahkan kepada Kokhidmat.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerima kunjung hormat daripada kepimpinan Kokhidmat
di Wisma Darul Iman pada 19 Ogos 2018

Pertama, Pentadbir Tanah Daerah Kuala Terengganu menyatakan kawasan itu sesuai disimpan untuk kegunaan kerajaan dan diwartakan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara. Ia adalah kawasan lapang bagi Penempatan Tok Adis Fasa II. 

Kedua, Jabatan Kerja Raya Kuala Terengganu dalam surat bertarikh 19 Oktober 2020 menyatakan tanah tersebut harus dikekalkan sebagai kawasan lapang sepertimana pelan asal pembangunan.

Ketiga, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu menyatakan permohonan koperasi itu bercanggah dengan ketetapan Rancangan Tempatan Daerah Kuala Terengganu yang telah diwartakan pada 19 Disember 2019 (No. Warta 1700) sebagai zon kawasan lapang.

Post a Comment

Previous Post Next Post